KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) terus memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan inovasi bioteknologi dan sektor agroperladangan menerusi kerjasama strategik bersama Koperasi Arus Gemilang Sabah Berhad (KAGSB) dalam pembangunan tanaman Paulownia di Sabah.
Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada penghasilan anak benih Paulownia berkualiti tinggi menggunakan teknologi kultur tisu tumbuhan, yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Wilson Yong Thau Lym dari IPB.
Teknologi kultur tisu merupakan kaedah pembiakan tumbuhan secara terkawal yang membolehkan penghasilan bahan tanaman dalam kuantiti yang lebih besar, seragam dan berkualiti dalam tempoh yang lebih singkat berbanding kaedah pembiakan konvensional.
Aplikasi teknologi tersebut dilihat berpotensi menyokong keperluan pembangunan ladang Paulownia yang memerlukan bekalan anak benih berkualiti secara konsisten dan berskala besar.
Menurut Wilson Yong, projek berkenaan bukan sekadar memberi tumpuan kepada penghasilan anak benih, malah merupakan langkah penting dalam menghubungkan hasil penyelidikan universiti dengan keperluan industri dan aplikasi sebenar di lapangan.

lawatan anjuran KAGSB ke tapak penanaman Paulownia, yang memperlihat usaha
memperkasa pembangunan Paulownia melalui bioteknologi dan teknologi kultur tisu
tumbuhan.
“Matlamat kami adalah untuk membangunkan sistem pembiakan berasaskan bioteknologi yang boleh dipercayai bagi menyokong penanaman Paulownia serta membuka ruang kepada pembangunan produk dan aplikasi dilapangan.
“Kerjasama dengan KAGSB menjadi penghubung penting antara keupayaan penyelidikan UMS dengan keperluan sebenar di lapangan,” tambah dalam kenyataan dikeluarkan UMS hari ini.
Sementara itu, Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau, berkata inisiatif tersebut memperlihatkan keupayaan IPB dalam memanfaatkan kepakaran, kemudahan penyelidikan dan modal insan dalam bidang bioteknologi tumbuhan bagi menyokong pembangunan pertanian serta ekonomi masyarakat.
“IPB mempunyai kepakaran, kemudahan dan modal insan dalam membangunkan serta mengaplikasikan teknologi kultur tisu tumbuhan bagi penghasilan bahan tanaman berkualiti.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen IPB untuk memastikan hasil penyelidikan dan inovasi bioteknologi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri,” katanya.
Dalam pada itu, KAGSB melihat Paulownia mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai sebahagian daripada rantaian nilai groperhutanan yang lebih luas, meliputi pembangunan ladang dan pembangunan produk hiliran.
Menurut Pengerusi KAGSB, Eddy Berhan, pembangunan tanaman Paulownia berpotensi membuka peluang ekonomi baharu sekiranya disokong dengan teknologi, bimbingan teknikal dan penggunaan tanah yang bersesuaian.
“Kami melihat Paulownia bukan sekadar sebagai tanaman ladang, tetapi sebagai satu peluang untuk membangunkan rantaian nilai baharu yang boleh memberi manfaat ekonomi kepada pemilik tanah dan komuniti setempat.
“Dengan sokongan teknikal yang bersesuaian, kami menggalakkan pemilik tanah serta komuniti yang mempunyai tanah yang sesuai untuk meneroka potensi tanaman ini dan bersama-sama menyokong pembangunan industri Paulownia yang mampan,” katanya.
Kerjasama UMS dan KAGSB ini dijangka dapat memperkukuh hubungan antara penyelidikan bioteknologi, pembangunan perladangan dan pemerkasaan ekonomi komuniti, selaras dengan aspirasi UMS untuk memastikan hasil penyelidikan universiti mempunyai nilai dan impak kepada masyarakat serta industri.

Tumbuhan, IPB UMS sebagai sebahagian daripada usaha menyokong penyelidikan
bioteknologi tumbuhan dan pembiakan bakaan tanaman tersebut.
Dalam jangka panjang, kerjasama tersebut berhasrat membangunkan satu rantaian nilai yang bersepadu dalam penanaman Paulownia, bermula daripada penghasilan anak benih melalui teknologi kultur tisu, penanaman di lapangan, pengurusan ladang sehingga kepada pembangunan aplikasi dan produk inovatif.
Inisiatif ini turut membuktikan bahawa penyelidikan universiti mampu bergerak melangkaui penemuan saintifik untuk menghasilkan inovasi yang mempunyai nilai komersial, membuka peluang keusahawanan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti. – MalaysiaGazette
















