GEORGE TOWN – Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam empat kes jenayah termasuk samun bersenjata, pecah rumah di kawasan Tanjung Bungah, di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kedua-dua suspek berusia 29 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan pada kira-kira jam 8.45 pagi dan 10.05 pagi semalam.
Beliau berkata, suspek pertama ditahan di Machang Bubok manakala suspek kedua ditahan di Jalan Perda Timur, Bukit Mertajam.
“Pihak polis turut berjaya merampas beberapa barang kes dipercayai milik mangsa-mangsa daripada suspek-suspek semasa tangkapan dilakukan.
“Kedua-dua tangkapan ini akan direman hari ini (Jumaat) untuk membantu siasatan lanjut,”katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah Dennis Lim, empat kertas siasatan dibuka membabitkan satu kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, samun bersenjata mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, pencerobohan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta kecurian alat kawalan jauh pintu pagar automatik mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Dua daripada kes itu membabitkan kerugian kira-kira RM17,000 manakala selebihnya tiada kerugian.
“PDRM Kontinjen Pulau Pinang memandang serius terhadap kes-kes tersebut dan telah menjalankan operasi khas untuk mengesan suspek-suspek yang terlibat.
“Kita juga memberi jaminan akan sentiasa berusaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaiknya bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat Pulau Pinang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada 5 Ogos lalu melaporkan polis memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam empat kes jenayah berkenaan di Tanjung Bungah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan jenayah berkenaan bersifat peluang. – MalaysiaGazette















