KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan pendirian yang akan dibuat DAP berkenaan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan pada Persidangan Kebangsaan DAP, Ahad ini sebagai satu lagi drama politik untuk menyedapkan hati penyokong serta ahli parti itu.
Ini kerana, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan, penyokong serta ahli DAP kini semakin kecewa selepas siri ‘malu besar’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah; Johor dan Negeri Sembilan.
Hakikatnya, dakwa beliau, DAP tidak akan mahu melepaskan kerusi takhta dan kuasa yang dinikmati sekarang.
“Idea acah-acah keluar kerajaan hanya gula-gula manis untuk melembutkan hati penyokong mereka saja.
“Saya jangka DAP akan terus bersama dalam Kerajaan Madani sehingga tamat penggal.
“Mereka akan bagi macam-macam alasan seperti nak jaga kestabilan negara.
“Tapi sebenarnya mereka nak jaga tembolok kuasa saja. Mereka takut hilang segala jawatan yang mereka agih-agihkan kepada diri sendiri dan penyokong,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Dakwa Wan Saiful lagi, hujah kestabilan hanyalah topeng untuk menutup fakta bahawa DAP gagal mentadbir, menjaga ekonomi negara, serta kebajikan rakyat, selain gagal menunaikan janji-janji sendiri.
Sedangkan, menurutnya, isyarat penolakan rakyat terhadap agenda kiri DAP sudah jelas terpampang dalam siri PRN sebelum ini.
“Kalau takut nak keluar, tak payah lah berdrama. Bagitahu saja kepada rakyat bahawa DAP sudah mabuk dengan kuasa dan tak peduli jika berada dalam kerajaan yang gagal,” katanya.
Ahad ini, seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan akan mengundi pada Persidangan Parti DAP 2026 bagi menentukan sama ada parti itu akan kekal atau menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, usul berhubung perkara itu akan dibentangkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada persidangan berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – MalaysiaGazette
















