TELUK KUMBAR – Penggunaan struktur sheet pile dicadangkan sebagai antara kaedah jangka panjang bagi menangani hakisan di Pantai Tanjung Asam, Gertak Sanggul di sini, yang semakin ketara sejak dua bulan lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, keadaan itu berlaku selepas perubahan monsun dengan tiupan angin selatan yang kencang menyebabkan ombak lebih kuat melanda kawasan berkenaan.
Katanya, hakisan ketara berlaku sepanjang kira-kira 100 meter membabitkan kawasan pengunjung hingga ke lokasi nelayan dan keadaan itu turut menjejaskan urusan nelayan serta pengunjung.
“Memang berlaku hakisan yang agak teruk. Walaupun JPS sudah memasang gabion, ombak yang datang amat kuat sehingga menarik batu-batu keluar.
“Kita sedang cuba mencari dana ataupun bajet segera atas kapasiti bencana untuk membaik pulih tembok penahan atau gabion yang rosak,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini.

Tambah Azrul Mahathir, beliau sudah turun ke lokasi bersama Pejabat Daerah dan menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mendapatkan peruntukan untuk kerja pembaikan berkenaan.
Menurutnya, bagaimanapun kaedah pembaikan perlu dirancang dengan teliti kerana pemasangan gabion sedia ada dikhuatiri kembali rosak sekiranya terus dipukul ombak.
“Kalau kita pasang gabion seperti sekarang, kita bimbang ia akan rosak semula. Jadi antara kaedah yang saya cadangkan ialah penggunaan sheet pile khususnya di kawasan nelayan.
“Selain itu, pembinaan sheet pile atau tembok penahan perlu mengambil kira kepentingan Pantai Tanjung Asam sebagai kawasan rekreasi kerana dikhuatiri menyebabkan pasir pantai hilang.
“Kita juga mengambil kira hakisan menyukarkan nelayan untuk naik ke darat, mendaratkan hasil tangkapan, membawa barangan serta mengikat sampan dan perahu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Hakisan di Pantai Tanjung Asam makin serius, pengunjung harap tindakan segera
MalaysiaGazette terdahulu melaporkan hakisan di Pantai Tanjung Asam, Gertak Sanggul di sini, semakin ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehingga menjejaskan kawasan pantai dan kemudahan awam berhampiran.
Keadaan itu turut memberi kesan kepada nelayan setempat apabila struktur batu yang berfungsi sebagai benteng penahan ombak rosak dan menyukarkan mereka untuk mengikat sampan serta menguruskan bot.
Tinjauan turut mendapati dua gazebo batu berhampiran pantai mengalami kerosakan dan tidak lagi sesuai digunakan, selain orang awam berharap kerja pembaikan serta pengukuhan kawasan terjejas dapat dilaksanakan segera demi keselamatan pengunjung. – MalaysiaGazette
















