Antara barangan kontraban bernilai kira-kira RM5.9 juta dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Sungai Serdang di sini pada Khamis yang dipercayai menjadi pusat penyimpanan sementara dan hab pengumpulan sebelum diedarkan ke seluruh negara. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Sebuah gudang dipercayai menjadi pusat penyimpanan sementara dan hab pengumpulan barangan kontraban sebelum diedarkan ke seluruh negara berjaya dikesan dalam serbuan di Kampung Sungai Serdang, Kapar, Klang, semalam.

Dalam serbuan Ops Taring Alpha sekitar jam 12.10 tengah hari itu, turut dirampas pelbagai barangan kontraban bernilai kira-kira RM5.9 juta, manakala tiga lelaki termasuk dua warga Bangladesh berjaya ditahan.

Serbuan dijalankan oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Operasi turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar.

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, individu yang ditahan membabitkan dua warga Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja gudang dan seorang lelaki tempatan yang juga pengarah syarikat berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di premis itu menemukan 32,200 batang rokok pelbagai jenama yang tidak bercukai kastam dengan nilai rampasan dianggarkan RM304,612.

“Selain itu, turut ditemukan 149 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM129,914.41 serta 167,526 kotak produk makanan dari China dianggarkan bernilai RM3.9 juta.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan pelbagai produk kosmetik serta kesihatan dari China dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.547 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barangan kontraban bernilai kira-kira RM5.9 juta dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Sungai Serdang di sini pada Khamis yang dipercayai menjadi pusat penyimpanan sementara dan hab pengumpulan sebelum diedarkan ke seluruh negara. Foto PDRM

Tambah Mohd Zaki, siasatan awal mendapati gudang berkenaan dipercayai sudah beroperasi kira-kira 14 tahun dan digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara produk dari China sebelum dihantar kepada pelanggan di seluruh negara.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 terutama berkaitan kesalahan menyimpan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam.

“Dua warga Bangladesh yang ditahan turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah, manakala tindakan turut dijalankan berkaitan penggajian pekerja asing tanpa permit yang sah,” jelasnya.

Ujarnya, bagi produk makanan, tindakan diambil mengikut Akta Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Makanan 2009, termasuk berkaitan kesalahan pelabelan makanan.

“Produk kosmetik dan kesihatan yang dirampas pula disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau berkata, tindakan susulan turut diambil agensi berkaitan termasuk penyitaan produk makanan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), tindakan penguatkuasaan oleh MBDK serta siasatan lanjut terhadap produk kecantikan dan kesihatan yang dirampas.

Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, pihaknya melaksanakan sebanyak 234 serbuan di seluruh negara sejak Januari lalu hingga kini dengan penahanan seramai 409 individu atas pelbagai kesalahan.

“Ia membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM311,031,676.64,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast