Suspek (depan) dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang dipercayai orang suruhan along direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes khianat dengan api dengan membakar sebuah kereta jenis BMW di Ayer Itam, di sini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Idayu Salim bermula hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, suspek dipercayai diupah dengan bayaran antara RM900 hingga RM1,000 untuk membakar sebuah kereta BMW 220i milik seorang lelaki berusia 61 tahun dalam kejadian di Jalan RU3, Ayer Itam di sini, pada 8 Ogos lalu.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan pinjaman wang berjumlah RM6,000 yang dibuat anak mangsa selepas melihat iklan pinjaman di Facebook pada 5 Ogos lalu.

Akibat kejadian itu, mangsa dikatakan mengalami kerugian dianggarkan RM40,000.

Susulan itu, bertindak atas maklumat pihak polis menahan suspek di Taman Sejahtera, Bukit Mertajam dekat sini, semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast