Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kontrak yang melakukan penipuan sewa rumah secara dalam talian membabitkan kerugian keseluruhan RM36,425 dua bulan lalu, menerima padah apabila dikenakan hukuman penjara sembilan bulan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd Azuan Mustaffa, 39, mengaku bersalah selepas kesemua sembilan pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di mahkamah berlainan.

Di hadapan Hakim Madihah Zainol, tertuduh berdepan empat pertuduhan secara tidak jujur menolong mengalihkan wang milik empat mangsa ke dalam akaun YTL Digital Bank Berhad miliknya berjumlah keseluruhan RM11,275.

Di mahkamah berlainan, tertuduh berdepan lima pertuduhan bagi kesalahan yang sama membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM25,150 di hadapan Hakim Ronie Anak Entili.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi berbeza antaranya di Bukit Chagar, Danga Bay dan Taman Suria di daerah ini antara 21 hingga 27 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh dan R Nevina manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Bharathi.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Pekerja kontrak itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Bharathi memohon anak guamnya hanya dikenakan hukuman penjara setelah pekerja kontrak itu sedang menjalani hukuman di Penjara Simpang Renggam, Kluang atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana air kencing positif dadah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara satu bulan bagi setiap pertuduhan yang akan berjalan secara berasingan.

Mengikut fakta kes, kesemua mangsa diperdaya dengan penipuan sewa rumah setelah melihat iklan sewa rumah di aplikasi Mudah.my sebelum membuat transaksi pembayaran ke dalam akaun dalam talian milik tertuduh.

Mangsa menyedari mereka ditipu apabila tidak memperoleh kunci rumah sewa serta gagal menghubungi suspek selepas pembayaran telah dibuat. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast