Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.

KUANTAN – Sultan Pahang menitahkan supaya semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini menjalankan pemeriksaan dan kajian terhadap status pokok-pokok besar dan tua khususnya yang berpotensi mendatangkan bahaya kepada keselamatan orang awam.

Menerusi Kesultanan Pahang, baginda menitahkan langkah itu dilaksanakan secara menyeluruh dan berkala bagi mengenal pasti pokok-pokok yang berada dalam keadaan berisiko terutama di kawasan tumpuan awam, tepi jalan, kawasan perumahan serta lokasi yang sering menjadi laluan orang ramai.

“Semua PBT perlu kaji status pokok-pokok yang besar dan tua. Kalau difikirkan boleh mendatangkan bahaya, perlu buat tindakan susulan.

“Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian yang tidak diingini, terutama yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa rakyat,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sebagai mengambil berat terhadap aspek keselamatan rakyat susulan kejadian pokok tumbang yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan kepada orang awam baru-baru ini.

Sehubungan itu, baginda turut menitahkan supaya PBT memberi perhatian khusus terhadap pokok pokok yang mengalami kerosakan, mempunyai dahan besar dan reput atau berada dalam keadaan yang boleh meningkatkan risiko.

Baginda berharap tindakan pemeriksaan dan penyelenggaraan secara proaktif dapat dilaksanakan dengan sebaiknya oleh semua PBT bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan.

Langkah tersebut juga penting bagi memastikan sebarang risiko dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan pencegahan dapat diambil sebelum berlaku kejadian yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan atau kerosakan harta benda.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast