TEMERLOH – Identiti dua mangsa, dipercayai ibu dan anak lelaki yang rentung dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan lori tangki di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang di sini petang semalam, akan disahkan melalui perbandingan sampel DNA dengan waris.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, proses berkenaan akan dilakukan dengan bantuan Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai seorang wanita Melayu berusia 39 tahun dan anak lelakinya berusia 12 tahun.

“Pengesahan identiti kedua-dua jenazah akan dibuat melalui perbandingan sampel DNA waris dengan bantuan pihak Jabatan Kimia Petaling Jaya.

“Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHAS) bagi membantu menentukan punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan DNA dijangka mengambil masa beberapa hari untuk diketahui kerana mengambil kira tempoh hari bekerja.

Bagaimanapun pihaknya sedang melakukan perbincangan untuk mendapatkan keputusan secepat mungkin bagi memudahkan urusan tuntutan jenazah oleh keluarga waris untuk proses pengkebumian.

Mohd Nasyim berkata, berdasarkan maklumat daripada waris, dua beranak berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Jerantut menuju Seremban, Negeri Sembilan ketika kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, sebuah lori tangki bermuatan 32,000 liter minyak diesel dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki lorong bertentangan.

Lori berkenaan kemudian terbalik dan menghempap sebuah Perodua Bezza yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah bertentangan.

Kedua-dua kenderaan terbabit kemudiannya terbakar dan musnah sepenuhnya, manakala pemandu lori tangki berusia 37 tahun mengalami kecederaan ringan dan berjaya menyelamatkan diri.

Mohd Nasyim berkata, pemandu lori berkenaan telah direman selama empat hari sehingga 18 Ogos ini bagi membantu siasatan.

“Saringan urin terhadap pemandu lori berkenaan didapati negatif dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast