NEW DELHI – Sekurang-kurangnya dua orang cedera selepas pistol berlesen milik seorang penumpang Air India Express meletup ketika pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang di negeri Uttar Pradesh, India pada hari Ahad.
Insiden tembakan itu berlaku di lapangan terbang di Varanasi, kira-kira 292 kilometer di tenggara Lucknow.
Menurut polis, tembakan tidak sengaja itu berlaku ketika senjata api dan peluru milik penumpang berkenaan sedang diperiksa dalam pemeriksaan keselamatan.
“Seorang anggota keselamatan wanita terkena tembakan pada bahagian kaki, manakala seorang lagi individu yang berada berhampiran terkena pada ibu jari,” kata polis.
Kedua-dua mangsa telah dihantar ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.
Polis berkata, tindakan undang-undang sewajarnya sedang diambil berhubung kejadian berkenaan. – Agensi
















