JOHOR BAHRU – Empat lelaki dipercayai terlibat kes bunuh susulan penemuan mayat yang dibungkus dan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat, 3 Ogos lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seorang daripada empat suspek berkenaan akan dituduh kemudian di Mahkamah Majistret Kluang kerana memiliki senjata api.
“Pendakwaan dilakukan selepas kertas siasatan lengkap dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, pada Khamis lalu.
“Empat suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala suspek yang memiliki senjata api didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi suspek dibebaskan dan akan menjadi saksi pendakwaan dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Ab Rahaman berkata, secara keseluruhannya, lima suspek ditangkap pada 3 Ogos lalu melibatkan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 40 tahun.
“Susulan itu, dua lagi lelaki tempatan berusia 33 dan 34 tahun ditangkap keesokannya sekali gus membawa kepada penemuan serta rampasan sepucuk pistol di sebuah rumah di Yong Peng, Batu Pahat pada 9 Ogos lalu,” katanya.
Pada 3 Ogos lalu, satu mayat yang dibungkus dan dililit dengan jaring ditemukan di Sungai Tanjung Sembrong pada pukul 12.30 tengah hari oleh orang awam.
Hasil siasatan mendapati tangan dan kaki diikat dengan pita pelekat dan terdapat kesan luka di bahagian pinggang serta lengan mangsa yang merupakan seorang peniaga.
Semakan lanjut mendapati, mangsa merupakan orang hilang seperti laporan diterima daripada isteri mangsa yang memaklumkan kehilangan suaminya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri, pukul 10.09 malam, 29 Julai lalu.- MalaysiaGazette
















