KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan sekurang-kurangnya lapan pelajar sebuah institusi tersebut menjadi mangsa gangguan seksual.
Katanya, maklumat tersebut diterimanya menerusi mesej yang disampaikan oleh beberapa pelajar.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan pihak pengurusan mengambil tindakan tegas menggantung staf yang terbabit dan menjalankan siasatan.
“Puas saya memujuk mereka agar buat juga laporan polis kerana ia membabitkan kes jenayah. Saya pelik pelajar-pelajar ni lebih berani mengadu terus kepada saya berbanding dengan pihak pengurusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Asyraf memberi jaminan MARA tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku termasuk gangguan seksual, malah akan mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja akan dikenakan terhadap warga kerjanya yang didapati terlibat.
“Saya beri jaminan, tiada kes yang akan disorok ataupun didiamkan atas apa jua alasan. Tiada istilah nak jaga nama baik institusi jika melibatkan keselamatan dan kebajikan pelajar.
“Jangan takut buat laporan atas sebarang salah laku terutamanya melibatkan gangguan seksual. MARA tidak sesekali kompromi perilaku songsang dan akan ambil tindakan tegas termasuk buang kerja terhadap yang terlibat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















