Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Datuk Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan mekanisme penyaluran tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Soalnya, adakah peruntukan berkenaan akan disalurkan melalui agensi kerajaan sedia ada atau menerusi ahli Parlimen kerajaan.

“Soalan yang ingin saya kemukakan, melalui agensi mana peruntukan ini disalurkan?” katanya.

Beliau berkata, persoalan itu timbul susulan kenyataan Anwar bahawa peruntukan berkenaan akan disalurkan terus kepada rakyat bagi mengelakkan birokrasi berlebihan.

“Jika melalui ahli-ahli Parlimen kerajaan, bagaimana penentuan ia akan disalurkan kepada ‘keperluan mendesak’ rakyat sedangkan hanya ahli Parlimen kerajaan itu sahaja yang akan membuat keputusan dan penilaian?” soalnya.

Beliau mengambil contoh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang didakwa mengumumkan peruntukan RM100,000 pada Jun lalu bagi program jualan murah daging babi.

“Jika ia dikira keperluan mendesak rakyat, adakah jualan murah daging babi (atau daging lembu dalam konteks Muslim) juga dilaksanakan di Parlimen-Parlimen lain?” katanya.

Fadhli berkata, jika hanya ahli-ahli Parlimen kerajaan sahaja yang berhak menentukan ke mana peruntukan tambahan RM1 juta ini dihabiskan, maka ketahuilah ia satu lagi bentuk ‘sakau terhormat ala reformasi’ menjelang pilihan raya umum sahaja.

Beliau turut mengingatkan penerima atau pihak yang menguruskan peruntukan berkenaan supaya bersedia untuk diaudit.

“Selamat berbelanja sebelum kamu akan diaudit satu persatu,” katanya. – MalaysiaGazette

RM1 juta tambahan setiap Parlimen, terus untuk rakyat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast