Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes Janawibawa melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram, bersambung di Mahkamah Tinggi esok.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin dijadual didengar selama lima hari sehingga Jumaat ini.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-22 bahawa Muhyiddin merupakan antara individu yang mempunyai kuasa menandatangani cek akaun CIMB Bank milik Bersatu yang menerima sumbangan dan yuran keahlian parti itu.

Pegawai Kewangan Bersatu, Muhammad Zulhelmi Zaulkafly, 34, berkata, akaun berkenaan mempunyai dua penandatangan, dengan Bendahari Agung ketika itu, Datuk Mohamed Salleh Bajuri bertindak sebagai penandatangan wajib.

Terdahulu, seorang ahli perniagaan turut memberitahu mahkamah, syarikat yang diasaskannya memperoleh tender di bawah Program Janawibawa selepas mendapat sokongan Muhyiddin menyebabkannya bersetuju menyumbang RM1 juta kepada Bersatu.

Lian Tan Chuan, 55, berkata, beliau percaya Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri berperanan membantu Nepturis Sdn. Bhd. memperoleh tender prakelayakan bagi melaksanakan projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor.

Saksi pendakwaan ke-21 yang juga dikenali sebagai TC Lian berkata, ekoran itu, beliau bersetuju memberi sumbangan kepada akaun Bersatu kerana memenuhi permintaan seorang ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff.

Mahkamah turut diberitahu, Nepturis memohon projek itu menerusi bantuan seorang ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad yang juga rakan `golf’ Muhyiddin.

Kata TC Lian, Nepturis kemudian memenangi tender prakelayakan bagi projek tersebut pada 12 Januari 2022, manakala surat setuju terima (SST) dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here