KUALA LUMPUR – Keputusan 1,857 perwakilan atau 88.2 peratus yang menyokong DAP kekal dalam kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen semasa perlu dilihat sebagai mandat jelas supaya parti terus memperjuangkan agenda reformasi dari dalam kerajaan.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, sokongan hampir sembilan daripada setiap 10 perwakilan itu menunjukkan pendirian yang kukuh dalam kalangan ahli wujud desakan supaya kedudukan DAP dalam kerajaan dinilai semula.
Katanya, keputusan itu bukan sekadar menentukan kedudukan DAP dalam kerajaan, tetapi turut meletakkan tanggungjawab kepada kepimpinan parti untuk memastikan penyertaan dalam pentadbiran membawa hasil yang dapat dirasai rakyat.
“Keputusan ini lebih besar daripada sekadar DAP memilih kekal dalam kerajaan. Ia memberikan mandat yang sangat jelas supaya kita teruskan perjuangan dari dalam kerajaan.
“Pada masa sama, perbahasan sepanjang persidangan menunjukkan persoalan mengenai prestasi dan kemampuan DAP merealisasikan reformasi menjadi antara perkara penting yang dibangkitkan ahli,” katanya hari ini.
Sheikh Umar menambah, angka 88.2 peratus itu juga menunjukkan keputusan yang amat kukuh terutama selepas wujud spekulasi DAP mungkin mengambil pendirian untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, keputusan itu turut mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil kira DAP mempunyai 40 kerusi Parlimen.
“Keputusan hari ini mengukuhkan lagi struktur sokongan terhadap kerajaan pusat dan mengurangkan ketidaktentuan mengenai kemungkinan perubahan politik sebelum PRU akan datang.
“Namun, mandat ini perlu diterjemahkan kepada tindakan. DAP perlu menggunakan amanah dan kedudukan yang ada untuk melaksanakan reformasi, mempertahankan prinsip parti serta menjaga kepentingan rakyat dan Malaysia,” katanya.
Seramai 2,223 perwakilan hadir pada persidangan itu, dengan 2,099 undi sah direkodkan manakala tujuh kertas undi rosak, daripada undi sah, 242 perwakilan atau 11.5 peratus memilih supaya DAP keluar daripada kerajaan Perpaduan. -MalaysiaGazette
















