Gambar hiasan

PERBAHASAN usul sama ada DAP perlu kekal atau keluar daripada kerajaan Perpaduan hari ini memperlihatkan satu dilema yang semakin jelas dalam parti itu, iaitu ketidakpuasan terhadap kadar reformasi dan beberapa dasar kerajaan, namun pada masa sama keluar daripada kerajaan tidak dilihat sebagai pilihan terbaik.

Daripada hujah yang dibawa perwakilan, persoalan utama bukan lagi semata mata sama ada DAP mahu terus berada dalam Kabinet, tetapi apa yang perlu diperoleh parti dan rakyat sekiranya parti itu memilih untuk kekal sehingga tamat penggal.

Keresahan paling ketara berkisar kepada reformasi yang dianggap masih perlahan, termasuk beberapa janji yang menjadi sebahagian daripada asas perjuangan Pakatan Harapan (PH) sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan.

Perwakilan turut membangkitkan isu rasuah, integriti, dasar ekonomi yang membebankan serta persepsi bahawa suara DAP dalam kerajaan semakin kurang kedengaran.

Dalam keadaan itu, terdapat kecenderungan dalam perbahasan supaya DAP terus berada dalam kerajaan, tetapi dengan pendirian lebih tegas. Maksudnya, kekal bukan kerana parti berpuas hati dengan pencapaian kerajaan, tetapi kerana masih ada ruang untuk mempengaruhi keputusan dari dalam dan menggunakan baki tempoh pentadbiran untuk menuntut perubahan.

Seorang pemimpin DAP yang enggan dikenali berkata kepada MalaysiaGazette, kemungkinan besar parti akan memilih untuk kekal dalam kerajaan, namun keputusan itu dijangka disertai syarat supaya beberapa janji manifesto dan agenda reformasi yang dipersetujui dilaksanakan sebelum penggal berakhir.

Kemungkinan itu dilihat mempunyai asas apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, ketika menggulung perbahasan turut memberi bayangan bahawa sekiranya parti memilih untuk kekal, keputusan itu bukan satu cek kosong kepada kerajaan.

Sebaliknya, Anthony menegaskan komitmen membawa reformasi serta mendapatkan semula keyakinan dan sokongan rakyat perlu menjadi prasyarat penting sekiranya DAP terus berada dalam kerajaan.

Beliau turut mengingatkan bahawa masih ada tempoh kira kira 18 bulan untuk kerajaan menunaikan perkara yang telah dipersetujui, termasuk beberapa agenda reformasi yang menjadi sebahagian daripada komitmen PH dan BN.

Antara pembaharuan yang diberi perhatian ialah reformasi ekonomi, pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Nada Anthony Loke menunjukkan baki tempoh kerajaan perlu digunakan untuk meninggalkan rekod pembaharuan yang boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat.

Perkara itu selari dengan pandangan perwakilan Wilayah Persekutuan, Sangeet Deo, yang secara terbuka mempersoalkan hubungan DAP dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mendakwa kepimpinan Anwar menyebabkan rakan gabungan dalam Pakatan Harapan dilagakan antara satu sama lain, selain memberi lebih ruang dan pengaruh kepada UMNO.

Sangeet turut menggesa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menilai semula hubungan dengan Anwar, sambil mempersoalkan kedudukan DAP apabila UMNO secara terbuka menyerang parti itu walaupun kedua duanya berada dalam kerajaan yang sama.

Beliau turut membangkitkan isu rasuah dan persepsi awam terhadap suara DAP dalam kerajaan, termasuk keputusan DNAA melibatkan 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menurutnya menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan membanteras rasuah.

Di Sarawak pula, perwakilan mengingatkan bahawa kekal tanpa sasaran dan garis masa reformasi yang jelas boleh menyebabkan DAP berdepan kehilangan keyakinan penyokong, manakala Perlis turut menuntut reformasi institusi dan agenda membanteras rasuah dipercepatkan.

Di Sabah, tuntutan hak 40 peratus serta kesan dasar Persekutuan terhadap rakyat negeri itu menjadi antara isu utama, sementara perwakilan Pulau Pinang menekankan kepentingan kestabilan politik bagi memastikan projek pembangunan negeri tidak terjejas.

Namun, walaupun kritikan terhadap kerajaan agak keras, hujah untuk keluar masih berdepan persoalan besar iaitu apa yang DAP boleh lakukan dari luar berbanding pengaruh yang masih dimiliki parti melalui kedudukannya dalam kerajaan.

Ini menjadikan baki kira kira 18 bulan sebelum pilihan raya sebagai tempoh yang sangat penting. Jika DAP kekal, keputusan itu bukan bermaksud parti memberikan sokongan tanpa syarat, sebaliknya kepimpinan perlu menggunakan kedudukan itu untuk menekan kerajaan melaksanakan reformasi, memperbaiki dasar yang dipertikaikan dan mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Dengan kata lain, pilihan untuk kekal boleh menjadi peluang terakhir DAP membuktikan bahawa penyertaan dalam kerajaan membawa perubahan nyata, bukan sekadar memastikan menteri menteri parti terus berada dalam Kabinet.

Ketika ini, proses pengundian secara sulit masih berjalan dan keputusan rasmi belum diumumkan. Seramai lebih 4,000 perwakilan layak menentukan sama ada DAP akan terus kekal atau keluar daripada kerajaan Perpaduan bagi baki penggal Parlimen semasa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast