KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, kerajaan telah membayar kira-kira RM16.4 juta kepada sebuah syarikat pembinaan, Nepturis Sdn. Bhd. bagi melaksanakan projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, dekat sini.
Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Lokman Nasir, 62, berkata, bayaran itu dijelaskan kepada Nepturis iaitu syarikat yang dikaitkan dengan pertuduhan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan Program Janawibawa.
Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, pembayaran tersebut dibuat menerusi sejumlah transaksi di antara 17 Mei 2022 dan 3 Februari 2023.
Menurut Lokman, kerajaan bersetuju menerima tawaran tender daripada Nepturis untuk melaksanakan pembinaan projek bernilai RM141 juta untuk tempoh kontrak selama 191 minggu.
Beliau menyatakan demikian menerusi pernyataan saksi pada perbicaraan kes Muhyiddin yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan kes Janawibawa.
Pada perbicaraan lalu, Pengarah Urusan Nepturis, Mohd. Rizman Akum Khan berkata, beliau diarah menandatangani cek RM1 juta untuk pengeluaran wang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Muhyiddin.
Sementara itu, seorang ahli perniagaan, Lian Tan Chuan memberitahu, Nepturis memperoleh tender di bawah Program Janawibawa selepas mendapat sokongan Muhyiddin menyebabkannya bersetuju menyumbang RM1 juta kepada Bersatu.
Pada perbicaraan itu, mahkamah turut mendengar keterangan bekas Pengarah Perkhidmatan Ukur Bahan, JKR, Datuk Zulkipeli Yamat.
Saksi pendakwaan ke-24 itu berkata, kerajaan bersetuju menerima tender tawaran daripada Sutracom Sdn. Bhd. bagi Projek Membina dan Menaiktaraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 bernilai RM605.2 juta.
Terdahulu, mahkamah membenarkan pihak pendakwaan meminda pertuduhan keempat dengan memasukkan nama syarikat KCJ Engineering Sdn. Bhd. Permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pembelaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta.
Ia berkaitan Program Janawibawa melibatkan empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette
















