TEMERLOH – “Rasa kosong sekarang. Tengah nak kumpul jiwa balik.”
Itu luahan pilu Saifulnizam Sulaiman, 39, yang masih cuba mengumpul kekuatan selepas kehilangan isteri, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhammad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, dalam tragedi lori tangki terbalik di Jalan Temerloh-Triang, Jumaat lalu.
Penternak ikan air tawar itu terduduk dan tidak putus menyambut dakapan saudara-mara dan kenalan yang memberi kata semangat kepadanya atas kehilangan dua insan dikasihi dalam sekelip mata.

Saifulnizam kelihatan longlai ketika berada di pusara isteri dan anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanggang di sini, hari ini, selepas anak dan isteri yang disayanginya selamat dikebumikan.
Katanya, kehilangan itu meninggalkan kekosongan yang sukar digambarkan, namun dia cuba mengumpulkan kembali kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Dalam masa sama, Saifulnizam menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir serta mendoakan arwah isteri dan anaknya.
“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, semua kawan-kawan.
“Ramai yang tak kenal pun datang dan terima kasih yang mendoakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan pengkebumian.
Dalam kejadian petang Jumaat lalu, dua beranak itu terkorban selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki bermuatan 32,000 liter bahan api sebelum terbakar.
Kedua-duanya dipercayai terperangkap dalam kenderaan dan ditemukan rentung, manakala pemandu lori tangki berkenaan cedera ringan.
Sementara itu, pemandu lori tangki direman selama empat hari sejak Sabtu sehingga esok bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu polis telah melengkapkan kertas siasatan kes kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dan sebuah kereta yang mengorbankan dua individu dalam insiden tragis di Jalan Temerloh-Triang, dekat Kampung Lebak, Temerloh 14 Ogos lalu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala saringan ujian air kencing terhadap pemandu lori berkenaan didapati negatif dadah.
Saifulnizam turut memohon orang ramai agar terus mendoakan kedua-dua insan yang disayanginya itu ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Saya minta semua mendoakan arwah anak, Muhammad Fattah Naufal dan juga arwah isteri, Nur Fatimah Syuhada, ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh dan solehah,” katanya. – MalaysiaGazette
















