BOGOTA – Menteri Perumahan baharu Colombia dikecam selepas beliau didapati membawa keluarganya bercuti di Caribbean ketika negara ini masih berdepan kesan gempa bumi dahsyat yang menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.
Gempa bumi pada 10 Ogos lalu mengorbankan hampir 300 orang di barat Colombia, hanya tiga hari selepas Presiden berhaluan kanan, Abelardo de la Espriella, memegang jawatan.
Gegaran berukuran 7.4 magnitud itu merupakan gempa bumi paling kuat melanda Colombia dalam tempoh hampir setengah abad.
Pada hujung minggu lalu, gambar dan video tersebar menunjukkan Jaime Andres Beltran, sedang bersantai di sebuah pantai di bandar Santa Marta, Caribbean.
Pembangkang berhaluan kiri berkata, mereka akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap menteri berkenaan kerana mengambil cuti pada ketika negara sedang melalui tempoh kritikal.
Hampir 27,000 rumah musnah akibat gempa itu, manakala ramai mangsa yang terselamat kini terpaksa tidur di kawasan terbuka menggunakan tilam atau tempat tidur sementara.
Pada Isnin, menteri berkenaan cuba menangkis kritikan terhadap perjalanannya itu.
Menerusi hantaran di X, Jaime berkata, beliau “bukan sedang bercuti”, sebaliknya hanya meluangkan beberapa jam bersama isteri dan anak-anak yang tidak ditemuinya selama beberapa hari.
Beliau juga mendakwa dia kembali menjalankan tugas berkaitan pembinaan semula pascagempa selepas pertemuan dengan keluarganya.
Seminggu selepas bencana berlaku, harapan untuk menemukan mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan semakin tipis.
Tumpuan kini beralih kepada krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Cali, Pereira dan kawasan lain yang terjejas, yang bertukar menjadi kem pelarian terbuka.
Gempa bumi itu menjadi ujian besar pertama buat De la Espriella, yang merupakan pendatang baharu dalam politik.
Minggu lalu, beliau melawat kawasan terjejas dan mengumumkan subsidi sewa kepada keluarga yang kehilangan rumah.
Beliau turut meminta sekutunya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menggantung tarif ke atas barangan Colombia bagi membantu merangsang ekonomi negara.
Bagaimanapun, beliau dikritik selepas mengagihkan bola sepak yang tertera slogan kempennya, “Sign for the homeland”, dari kenderaan kalis peluru ketika melawat kawasan berhampiran pusat gempa.
Pengkritiknya menuduh pemimpin berhaluan kanan itu menggunakan bencana untuk mempromosikan jenama politiknya serta memperlekeh keperluan mangsa.
Penyokongnya pula mempertahankan tindakan itu sebagai usaha membawa sedikit kegembiraan kepada mangsa gempa. – Agensi
















