KUALA LUMPUR – Seorang guru tahfiz direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul dan memukul dua murid lelaki berusia 11 tahun di sebuah maahad tahfiz di Taman Keramat.
Perintah reman terhadap lelaki berbangsa Melayu itu bermula semalam hingga 25 Ogos ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak pada jam kira-kira 10.30 pagi, 18 Ogos lalu.
Katanya, pengadu hadir ke sebuah maahad tahfiz di Taman Keramat sebelum membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa dipercayai dicabul suspek antara Julai hingga Ogos 2026.
“Kedua-dua mangsa turut mendakwa dipukul menggunakan sebatang rotan kayu pada 16 Ogos lalu kerana didakwa tidak berdisiplin ketika sesi pembelajaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) akta berkenaan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Bagi Seksyen 324 Kanun Keseksaan pula, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
“Kes masih dalam siasatan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















