Lima lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Lima lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menculik, mengurung, mencederakan serta samun berkumpulan terhadap pasangan kekasih warga Singapura, awal bulan ini.

Di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, tertuduh, M Balamurugan; 46, K Sarawanan, 40; P Sri Dewi, 41; G Puganeswaran, 4;, S Gobinath, 38, dan Adwin Nicholas, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menculik seorang lelaki Singapura.

Mereka secara bersama-sama didakwa menculik mangsa, Al-Shameer Abdul Nassar untuk meminta wang tebusan sebanyak SGD20,000 (RM63,703.64).

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di hadapan sebuah gereja di Jalan Orkid 36, Taman Sri Orkid, Skudai, pada pukul 2 petang, 8 Ogos lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibacakan bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin ke atas kesemua tertuduh selain perlu menyerahkan pasport, dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Hakim Madihah Zainol pula, Balamurugan, Saravanan dan Gobinath tidak mengaku salah melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta mangsa iaitu seutas rantai leher emas dan jam tangan jenama Rolex.

Mereka bertiga didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta di suatu lokasi di daerah Johor Bahru Utara pada pukul 2 petang, 8 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Sementara itu, di hadapan Majistret A Shaarmini, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah menculik dengan mengurung secara rahsia dan salah terhadap Zaylen Zayraelle Xie Manting.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Taman Skudai Baru, pada pukul 2 petang, 11 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun dan denda.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap kesemua tertuduh.

Dalam pada itu, di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman pula, Sarawanan dan Puganeswaran didenda RM3,000 selepas mengaku salah mendatangkan kecederaan terhadap lelaki Singapura itu dengan menggunakan sebilah pisau.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Taman Skudai Baru, Skudai antara pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari, 11 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman selama enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Semua mahkamah menetapkan 23 September depan sebagai tarikh sebutan semula dan  lantikan peguam. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here