KULAI – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan dakwaan dalam sebuah video yang tular bahawa terdapat sebuah keluarga etnik Rohingya datang meminta bantuan di Pejabat JKM Kulai.
JKM dalam satu kenyataan menjelaskan, berdasarkan semakan dan maklumat yang diterima Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kulai, kehadiran individu tersebut adalah bagi menghadiri temubual dengan Pegawai JKM.
Jelasnya, ini bagi tujuan penyediaan laporan yang diarahkan oleh mahkamah dan bukan sebagaimana yang didakwa atau digambarkan dalam video berkenaan.
“JKM memandang serius penyebaran maklumat yang tidak tepat atau tidak lengkap kerana perkara tersebut boleh menimbulkan salah faham serta persepsi yang tidak tepat terhadap jabatan dan pegawai-pegawai yang melaksanakan tugas rasmi.
“JKM sentiasa komited dalam memastikan setiap tindakan yang diambil oleh pegawai dilaksanakan secara profesional, berintegriti serta selaras dengan tanggungjawab, peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, satu video memaparkan lelaki Rohingya hadir ke JKM Kulai tular dalam media sosial yang mendakwa mereka meminta bantuan agensi berkenaan.
JKM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat kesimpulan berdasarkan kandungan media sosial yang belum disahkan kesahihannya.
“Orang ramai juga diharap tidak menyebarkan semula maklumat yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
Pada masa sama JKM menyeru orang ramai mendapatkan penjelasan daripada sumber rasmi sekiranya terdapat sebarang persoalan berkaitan perkhidmatan atau tindakan yang dilaksanakan oleh JKM.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Hasrunizah Hassan berkata, sesiapapun boleh meminta bantuan kebajikan sama ada warganegara atau tidak tetapi kelulusannya tertakluk kepada pihak jabatan berkenaan.
“Sesiapa boleh minta tetapi untuk kelulusan jabatan terikat kepada dasar dan undang-undang. Jadi Rohingya datang nak minta (bantuan) kita tak boleh nak halang.
“Tetapi dia mungkin tak dapat (bantuan yang diminta) sebab jabatan terikat dengan dasar dan undang-undang. Isu tak patut diperbesarkan sebab tak ada pembuktian lagi dia dapat bantuan daripada JKM,” katanya dalam kenyataan ringkas.- MalaysiaGazette
















