KOTA BELUD – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) memupuk kesedaran kesihatan komuniti menerusi Program Promosi Kesihatan dan Pemindahan Ilmu di Pantai Kampung Sarang dengan memberi tumpuan kepada amalan kebersihan persekitaran dan pencegahan penyakit seperti denggi, leptospirosis dan disentri.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Pantai Kampung Sarang (PERKAS) itu melibatkan pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan UMS.
Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah saringan tekanan darah dan indeks jisim badan (BMI) bagi membantu peserta mengetahui status kesihatan asas masing-masing.
Pensyarah dan penyelaras modul kursus Experiential Learning in Nursing, Patricia Sator berkata, program tersebut bertujuan menggalakkan amalan hidup sihat serta memupuk tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan persekitaran.
“Program ini juga menggalakkan komuniti mengamalkan pelupusan sisa yang betul serta bersama-sama memelihara kebersihan kawasan pantai.
“Seramai 44 penduduk kampung menyertai program yang merangkumi saringan kesihatan, ceramah kebersihan persekitaran dan pencegahan penyakit serta aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pantai.
“Selain itu, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pantai turut diadakan sebagai usaha menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam memastikan persekitaran kampung sentiasa bersih dan selamat,” katanya.

Tambah Patricia, poster pendidikan dan video ringkas turut digunakan semasa program bagi membantu peserta memahami amalan pelupusan sisa yang betul serta langkah mudah mengurangkan risiko penyakit berjangkit.
“Menerusi program itu, para pelajar turut berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dalam situasi sebenar melalui interaksi secara langsung bersama komuniti setempat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















