GEORGE TOWN – Seorang warga emas cedera dan dipercayai patah kaki kiri akibat dipukul berulang kali dengan besi dan dilanggar menggunakan motosikal oleh seorang lelaki dalam kejadian di Pasar Awam Jalan Perak di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa berusia 86 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan di pasar berkenaan.
Menurut menantu mangsa yang mahu dikenali sebagai Ong, lelaki berkenaan yang dipercayai penduduk di kawasan kejiranan sama, melanggar bapa mentuanya menggunakan motosikal sebelum turun dan memukulnya berulang kali dengan rotan.
“Bapa mentua saya cuba mempertahankan diri dengan mengangkat tangan bagi menghalang pukulan besi, menyebabkan tangan kirinya turut mengalami kecederaan.
“Kami tidak berani mengangkat atau menggerakkannya memandangkan dia meronta kesakitan, sebaliknya menunggu bantuan petugas kesihatan.
“Dia kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, lelaki itu dipercayai mengalami masalah kesihatan mental dan sering menunggang motosikal melepasi rumah mereka selain melemparkan kata-kata makian.
“Dia kemudian ditahan polis di lokasi kejadian sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa terbaring berhampiran motosikalnya serta motosikal dipercayai tunggangi suspek.
Sementara itu, MalaysiaGazette sedang mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette
















