Gambar hiasan

Oleh: Profesor Madya Dr. Salwa Mahmood

SETIAP kali bulan Ogos tiba, semangat patriotisme akan kembali hangat. Jalur Gemilang megah berkibar di rumah, premis perniagaan, sekolah dan institusi serta kenderaan-kenderaan. Lagu bertemakan patriotisme akan berkumandang, pelbagai program sambutan Hari Kebangsaan turut dianjurkan di seluruh negara. Sebagai rakyat Malaysia, kita meraikan negara kita yang telah bebas dari penjajahan kuasa asing. Namun, di sebalik kemeriahan terdapat satu persoalan. Adakah kita benar-benar sudah merdeka dalam setiap aspek kehidupan?

Kini, kita berdepan satu bentuk penjajahan baharu yang tidak mempunyai konsep ketenteraan, senjata atau sempadan tanah. Penjajahan baharu ini hadir dalam bentuk yang senyap seperti budaya membuang sampah, penggunaan plastik sekali guna, pembaziran, melakukan pencemaran serta sikap sambil lewa terhadap kebersihan persekitaran. Sampah mungkin kelihatan kecil dan tidak berbahaya. Sebatang straw, sehelai pembungkus makanan, sebotol air mineral atau beg plastik mungkin dianggap tidak membawa perubahan besar. Tetapi apabila jutaan manusia berfikir dengan cara yang sama, sampah kecil itu akhirnya menjadi masalah besar.

Lebih membimbangkan ialah apabila segelintir dari kita mula menganggap membuang sampah sebagai perkara biasa. Tabiat membuang sampah di hadapan anak kecil yang masih belajar tentang alam sekitar merupakan perkara yang sangat memalukan. Sampah dibuang di tepi jalan, bekas-bekas makanan ditinggalkan selepas sesuatu program kerana beranggapan sudah ada pekerja pembersihan. Sampah dicampakkan ke dalam longkang kerana menganggap ia akan hilang dibawa air hujan. Penjajahan minda dan sikap ini adalah bentuk penjajahan yang paling sukar untuk dibebaskan.

Kita perlu merdeka daripada budaya guna dan buang. Kita perlu merdeka daripada kebergantungan kepada plastik sekali guna. Lonjakan harga plastik sepatutnya turut menjadi pemangkin pengurangan plastik sekali guna. Kita perlu merdeka daripada mentaliti bahawa kebersihan adalah tanggungjawab pekerja pembersihan semata-mata. Paling penting, kita perlu merdeka daripada sikap dan mentaliti berfikiran bahawa satu sampah kecil tidak akan mengubah apa-apa. Hakikatnya, perubahan besar sentiasa bermula daripada tindakan kecil.

Tidak membuang satu botol plastik mungkin kelihatan remeh. Membawa beg guna semula mungkin kelihatan biasa. Mengutip sampah yang kita nampak di kawasan awam mungkin tidak mendapat tepukan sesiapa. Namun, apabila jutaan rakyat melakukan perkara yang sama, kesannya boleh menjadi luar biasa.

Sambutan Merdeka tahun ini mungkin boleh menjadi titik permulaan kepada satu bentuk patriotisme yang berbeza. Selain mengibarkan Jalur Gemilang, kita kibarkan juga kesedaran. Selain menyanyikan lagu patriotik, kita amalkan tanggungjawab kesedaran terhadap persekitaran. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air, kita perlu buktikan bahawa kita juga mahu merdeka daripada isu sampah dan pencemaran.

Jadi, bagi mengatasi penjajahan baru melibatkan sampah dan pencemaran ini, terdapat penyelesaian yang praktikal untuk rakyat Malaysia seperti:

Merdekakan diri daripada budaya guna sekali
Perubahan adalah bermula daripada individu. Kurangkan penggunaan plastik sekali guna, bawa beg dan bekas makanan sendiri, gunakan botol air boleh guna semula dan elakkan pembelian yang menghasilkan pembungkusan berlebihan.

Tukar konsep ‘sampah’ kepada ‘tanggungjawab’
Kita perlu berhenti melihat kebersihan sebagai tugas pekerja pembersihan, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan semata-mata. Setiap individu yang menghasilkan sampah perlu bertanggungjawab terhadap sampah tersebut sehingga ia dilupuskan dengan betul.

Jadikan kawasan awam sebagai ruang milik bersama
Kawasan awam seperti taman, sungai, pantai, pasar dan kawasan rekreasi perlu dilihat sebagai ruang yang kita kongsi bersama orang lain. Jika kita menganggapnya seperti rumah sendiri, kita tentu tidak akan meninggalkan sampah sesuka hati.

Pendidikan bermula sebelum sampah menjadi masalah
Pendidikan juga perlu memainkan peranan yang lebih besar. Kesedaran mengenai pengurusan sisa tidak seharusnya hanya muncul apabila berlaku kempen kebersihan atau sambutan Hari Kebangsaan.

Ia perlu diterapkan sejak di bangku sekolah dan diteruskan di universiti, tempat kerja serta komuniti. Anak-anak perlu diajar bahawa membuang sampah ke dalam tong bukan sekadar mematuhi peraturan, tetapi merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai warganegara.

Penguatkuasaan perlu berjalan seiring dengan pendidikan
Pendidikan tanpa penguatkuasaan mungkin tidak mencukupi. Mereka yang sengaja membuang sampah di tempat awam, sungai atau kawasan larangan perlu berdepan tindakan yang sewajarnya. Mengetatkan penguatkuasaan bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi memastikan ruang awam dihormati dan menjadi peringatan bahawa kebebasan tidak bermaksud kita bebas melakukan apa sahaja.

Jika semua mengamalkan perkara mudah ini, kita bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah sampah, malah membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Justeru, pada bulan kemerdekaan ini, mungkin soalan yang paling penting bukanlah slogan sejauh mana kita mencintai Malaysia, tetapi turut berfikir apakah yang kita lakukan untuk membuktikan bahawa kita benar-benar mencintai Malaysia?

Kerana Jalur Gemilang yang berkibar akan terus menjadi simbol kemerdekaan. Tetapi Malaysia yang bersih, lestari dan dihormati oleh generasi akan datang menjadi bukti bahawa kita benar-benar telah merdeka.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi  Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here