Tan Sri Dr. Madinah Mohamad berucap pada Musyawarah Nasional 2.0 Realiti dan Persepsi jangan mempolitikkan Tabung Haji di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Madinah Mohamad mendedahkan beliau pernah diminta Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya ‘tunggu’ sebelum memuktamadkan sijil audit Lembaga Tabung Haji pada 2018.

Bekas Ketua Audit Negara berkata, ketika itu beliau perlu mengeluarkan sijil audit pada Julai 2018, kira-kira dua bulan selepas kerajaan baharu pimpinan Mahathir mengambil alih pentadbiran pada 9 Mei tahun sama.

Menurutnya, beliau kemudian bertemu Mahathir bagi memaklumkan perkara berkenaan sebelum beliau memintanya menunggu kerana isu tersebut mahu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Saya akan membincangkan perkara ini dalam Kabinet, kemudian saya akan memaklumkan,” dedahnya ketika membentangkan perkara itu pada program ‘Musyawarah Nasional: Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji’ di sini, hari ini.

Suasana orang ramai berselawat ketika hadir pada Musyawarah Nasional 2.0 Realiti dan Persepsi jangan mempolitikkan Tabung Haji di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

Madinah berkata, pasukan audit ketika itu tidak mengenepikan isu yang ditemui, malah mengenal pasti perkara berkaitan kemerosotan nilai aset dan pada peringkat teknikal mencadangkan pengeluaran sijil teguran.

Namun, katanya, selepas mempertimbangkan peranan dan tanggungjawab unik juruaudit sektor awam, beliau berpendapat pendekatan sijil audit tanpa teguran dengan Emphasis of Matter (EOM) lebih sesuai.

Keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan pasukan audit dan mengambil kira keperluan untuk mengekalkan ketelusan serta akauntabiliti awam tanpa menjejaskan kedudukan dan kepercayaan orang ramai terhadap Tabung Haji.

Menurut Madinah, pendapat audit hanya dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara selepas keseluruhan bukti audit dinilai, termasuk tahap materialiti, piawaian audit dan pertimbangan profesional.

Beliau turut menjelaskan, penggunaan EOM membolehkan perkara penting diketengahkan secara jelas kepada Parlimen dan rakyat tanpa mengubah pendapat keseluruhan terhadap penyata kewangan.

Madinah berkata, selepas keputusan dibuat, beliau memaklumkan kepada Mahathir mengenai pendekatan yang dipilih serta menghantar surat bertarikh 19 Disember 2018 bagi menjelaskan perkara berkenaan, termasuk konsultasi dan asas keputusan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here