KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 serta RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak lima sen seliter bagi tempoh 27 Ogos hingga 2 September 2026.
Kementerian Kewangan berkata, kenaikan itu didorong harga minyak mentah dunia yang kekal tinggi sepanjang sebahagian besar tempoh pengiraan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) dengan harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$90 setong.
Menurutnya, ketidaktentuan geopolitik dunia yang berlarutan turut memberi tekanan terhadap harga dan bekalan petroleum global, termasuk sekatan trafik yang berterusan di Selat Hormuz.
Gangguan terhadap kapasiti penapisan di Asia Barat dan Rusia turut mengurangkan bekalan produk petroleum bertapis, dengan tekanan lebih ketara terhadap harga diesel susulan pasaran diesel global yang semakin ketat.
“Walaupun harga minyak mentah dunia menurun pada penghujung tempoh pengiraan APM, penurunan itu belum mencukupi untuk mengimbangi paras harga yang lebih tinggi sepanjang sebahagian besar minggu sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian Kewangan berkata, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara dalam tempoh terdekat selagi aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal dan ketidaktentuan geopolitik berterusan.
Katanya, kerajaan bertekad melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin dengan mengekalakan subsidi bersasar Budi Madani bagi pengguna yang layak.
Jelasnya, di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95), kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.83 seliter, iaitu kira-kira 48 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa.
Bagi pengguna yang layak di bawah Budi Madani Diesel (BUDI Diesel), subsidi yang ditanggung kerajaan pula sebanyak RM2.62 seliter, atau 56 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.
Harga petroleum bersubsidi kekal sebanyak RM1.99 seliter bagi RON95 (Budi95); diesel (Budi Diesel) RM2.10, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter. – MalaysiaGazette
















