Ngwe Hee Sem

MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka akan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan cuaca panas ekstrem yang diramalkan melanda mulai September ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, satu mesyuarat jawatankuasa bersama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan diadakan bulan depan bagi membincangkan pelan tindakan berkaitan.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan akan memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi cuaca panas ekstrem selain kemungkinan berlakunya jerebu di negeri ini.

“Kita akan mengadakan satu mesyuarat pada September untuk membincangkan tahap kesiapsiagaan sekiranya berlaku cuaca ekstrem.

“Jabatan Kesihatan sudah biasa berdepan keadaan sedemikian dan langkah persediaan akan dilaksanakan seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas situasi jerebu semasa, Ngwe berkata, keadaan di Melaka masih terkawal dan belum mencapai tahap berbahaya seperti yang dilaporkan berlaku di beberapa negeri lain.

Beliau berkata, keadaan cuaca di negeri itu juga dilihat bertambah baik susulan hujan yang turun semalam.

“Tadi pagi saya sudah menghubungi pegawai yang bertanggungjawab dalam kesihatan awam dan setakat ini Melaka masih berada dalam status baik serta sihat.

“Kita juga belum menerima sebarang laporan mengenai pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat masalah berkaitan jerebu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemantauan terhadap situasi cuaca dan kualiti udara akan diteruskan bagi memastikan tindakan awal dapat diambil sekiranya keadaan bertambah buruk.

Ngwe turut memberi jaminan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan cuaca ekstrem serta kesannya terhadap kesihatan awam. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here