GEORGE TOWN – Seluruh sekolah di negeri ini akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk sehingga bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) mencecah 200.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, persiapan ke arah itu sedang dilakukan, namun PdPR belum dilaksanakan ketika ini kerana bacaan API masih berada di bawah paras berkenaan.
Katanya, semua aktiviti luar sekolah akan dihentikan apabila bacaan API mencecah 100, manakala murid tidak perlu hadir ke sekolah dan PdPR akan dilaksanakan apabila bacaan mencapai 200.
“Belum lagi (PdPR). Kita sedang membuat persiapan, tetapi jika kita lihat trend bacaan meningkat menuju 200, kita akan membuat persiapan yang diperlukan.
“Kita akan memaklumkan kepada sekolah lebih awal sekiranya terdapat pengumuman supaya murid berada di rumah dan PdPR dilaksanakan,” katanya selepas meninjau persediaan menghadapi jerebu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gelugor di sini, hari ini.
Tambah Mohamad Dziauddin, pihaknya akan menilai keadaan pada petang hari sebelumnya sekitar jam 6 petang atau 8 malam, berdasarkan bacaan API dan pergerakan angin sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.
Katanya, pemberitahuan awal penting bagi memberi masa kepada guru menyediakan jadual serta memaklumkan murid mengenai pelaksanaan PdPR.
“Kita tidak boleh membuat pengumuman pada saat akhir kerana ibu bapa, guru dan sekolah memerlukan masa untuk membuat persiapan.
“Buat masa ini, kita meminta sekolah tidak menjalankan aktiviti luar dan memberi tumpuan kepada aktiviti di dalam bilik darjah, terutama apabila bacaan di sesetengah kawasan menghampiri 100.
“Murid yang mempunyai masalah pernafasan dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan sekiranya perlu,” katanya.
JPN Pulau Pinang sebelum ini mengaktifkan bilik gerakan sejak 13 Ogos lalu bagi memantau keadaan jerebu secara berterusan serta menyelaras tindakan bersama pejabat pendidikan daerah dan sekolah.
Sekolah di kawasan terjejas akan dikenal pasti berdasarkan bacaan daripada empat stesen bacaan API di Minden, Balik Pulau, Seberang Jaya dan Prai. – MalaysiaGazette
















