KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjelaskan langkah yang akan diambil bagi mengelakkan kenaikan harga bahan api daripada mencetuskan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, kenaikan lima sen harga RON95 tanpa subsidi kepada RM3.82 seliter bagi tempoh 27 Ogos hingga 2 September 2026 menunjukkan peningkatan kos bahan api terus memberi tekanan kepada perniagaan dan pengguna.
Apatah lagi, kenaikan itu juga merupakan minggu kedua berturut-turut harga RON95 tanpa subsidi meningkat.
“Walaupun RON95 bersubsidi di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter bagi rakyat Malaysia yang layak, kerajaan tidak boleh mengabaikan kesan lebih meluas daripada peningkatan harga bahan api di pasaran.
“Kos bahan api yang lebih tinggi boleh meningkatkan perbelanjaan pengusaha logistik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perniagaan makanan serta sektor lain, sebelum kos berkenaan akhirnya dipindahkan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Lawrence yang juga Naib Presiden MCA berkata, kerajaan juga perlu memantau dengan teliti kesan pelaksanaan Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) secara mingguan, terutama ketika harga minyak global kekal tidak menentu.
Menurutnya, walaupun penetapan harga berasaskan pasaran mencerminkan keadaan global, rakyat perlu diberikan kepastian mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan kesan turun naik harga bahan api yang berpanjangan.
“Dengan kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan utama, kerajaan mesti memastikan subsidi bersasar sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan, selain melindungi perniagaan daripada peningkatan kos operasi yang tidak mampan.
“Kerajaan perlu mempunyai pelan yang jelas bagi mengelakkan peningkatan kos bahan api menjadi satu lagi beban kepada isi rumah dan operasi perniagaan,” katanya.
Lawrence berkata, penjelasan kerajaan berhubung kenaikan harga bahan api penting bagi meyakinkan rakyat bahawa langkah sewajarnya sedang diambil untuk menangani tekanan kos. – MalaysiaGazette
















