GEORGE TOWN – Lelaki yang disyaki memukul jiran menggunakan sebatang besi di Jalan Perak di sini, pada Ahad lalu akan didakwa di mahkamah pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superitenden Lee Swee Sake mengesahkan lelaki berusia 62 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah sesyen bagi pertuduhan berkenaan,” katanya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tindakan pantas polis berjaya menahan suspek di lokasi kejadian sebelum lelaki itu direman selama tujuh hari bermula Isnin lalu.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, seorang lelaki warga emas parah dipukul jirannya menggunakan sebatang besi selepas berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mereka, pada jam 9.30 pagi.
Susulan insiden itu mangsa yang berusia 80 tahun mengalami kecederaan parah pada tangan dan kaki sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa dalam keadaan terbaring. – MalaysiaGazette
















