SEBERANG PERAI – Keluarga Allahyarham Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan, 11, berhak mendapat penjelasan yang jelas dan menyeluruh berhubung kejadian yang menimpa murid berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, siasatan terhadap kejadian yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau, Kedah pada 14 April lalu perlu dilaksanakan secara telus, menyeluruh dan berintegriti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, semua perkara berkaitan kejadian itu perlu diteliti, termasuk memberi ruang kepada pihak yang berkaitan untuk mengemukakan keterangan serta penjelasan.
“Saya ingin menegaskan bahawa perkara ini perlu disiasat dengan teliti, menyeluruh, telus dan berintegriti.
“Tiada mana-mana aspek yang berkaitan dengan kejadian ini wajar diketepikan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebarang hasil siasatan yang menunjukkan berlakunya kecuaian, pelanggaran peraturan atau salah laku perlu disusuli tindakan sewajarnya mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Katanya, pihak berkuasa pendidikan sebelum ini juga sudah menjalankan siasatan susulan aduan yang dikemukakan keluarga Allahyarham berkaitan kejadian berkenaan.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud sebarang kecuaian, pelanggaran peraturan atau salah laku, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi, selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata, aspek keselamatan dan kebajikan murid perlu diberi perhatian serius sekiranya terdapat sebarang kelemahan dikenal pasti hasil siasatan.
Pada masa sama, beliau meminta semua pihak tidak membuat sebarang kesimpulan awal sebaliknya memberi ruang kepada proses siasatan berjalan secara adil dan profesional sehingga semua fakta diperoleh serta diteliti.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada ibu bapa dan seluruh keluarga Nur Qaira serta mendoakan mereka diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan menghadapi kehilangan berkenaan.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Unit Integriti Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan selanjutnya berhubung kematian Nur Qaira selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sebelum ini, tular perkongsian bapa Nur Qaira di media sosial yang mendakwa anaknya, yang mempunyai masalah jantung, diarahkan seorang guru menyertai aktiviti larian ketika sesi pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan mengenai penyakitnya sudah diberikan.
Susulan kejadian itu, Nur Qaira didakwa hanya terlantar dan bergantung kepada mesin oksigen sebelum disahkan meninggal dunia. – MalaysiaGazette
















