Razali Kassim melakukan lawatan pada Program Pemfluoridaan semula Bekalan Air Awam di Loji Rawatan Air, Air Ganchong di Pekan.

PEKAN – Selepas dihentikan sepenuhnya sejak 2020, Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam Negeri Pahang kini dihidupkan semula dengan pelaksanaan awal di Loji Rawatan Air Ganchong, di sini, yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 penduduk.

Program tersebut dilancarkan semula pada 1 September menerusi peruntukan RM1 juta yang diluluskan Kerajaan Negeri Pahang dalam Belanjawan 2023, sebagai salah satu usaha memperkukuh intervensi kesihatan awam khususnya dalam pencegahan kerosakan gigi.

Exco Kerja Raya dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, pemfluoridaan bekalan air awam merupakan pendekatan pencegahan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh tanpa bergantung sepenuhnya kepada akses individu terhadap perkhidmatan pergigian.

Katanya, paras fluorida dalam bekalan air akan dikawal dan dipantau pada julat 0.4 hingga 0.6 bahagian per sejuta (ppm) bagi mendapatkan kesan optimum dalam mencegah dan mengawal karies gigi.

“Pemfluoridaan air mempunyai kelebihan kerana tidak memerlukan seseorang hadir ke klinik pergigian, membeli produk pencegahan atau mengubah tingkah laku secara khusus.

“Sebaliknya, manfaatnya boleh dinikmati secara meluas oleh penduduk termasuk mereka di luar bandar dan kawasan yang mempunyai akses lebih terhad kepada perkhidmatan kesihatan pergigian,” katanya.

Ujarnya Majlis Peluncuran Program Pemfluoridaan Semula Bekalan Air Awam Negeri Pahang Tahun 2026 di Loji Rawatan Air Ganchong, diadakan semalam.

Razali berkata, pemfluoridaan bekalan air bukan perkara baharu bagi Pahang kerana program itu pernah dilaksanakan ketika pengurusan bekalan air masih di bawah Jabatan Bekalan Air (JBA).

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan program tersebut dihentikan secara berfasa mulai 2012 selepas pengurusan loji rawatan air dan bekalan air diswastakan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Datuk Ir. Razali Kassim

“Pada 2020, program ini dihentikan sepenuhnya dan tiada lagi penduduk di Pahang yang menerima bekalan air berfluorida.

“Justeru, saya merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri kerana meluluskan peruntukan RM1 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2023 bagi menyambung kembali program ini,” katanya.

Menurut Razali, pelaksanaan semula dimulakan di Loji Rawatan Air Ganchong, Pekan, sebagai langkah pertama dengan manfaat kepada kira-kira 60,000 penduduk di kawasan sekitar.

Berdasarkan rekod 2025, hanya 37.7 peratus murid berumur enam tahun di Pahang bebas karies, manakala bagi murid berumur 12 tahun, kadar bebas karies adalah 67.52 peratus.

Katanya, angka berkenaan masih di bawah sasaran National Oral Health Strategic Plan (NOHSP) 2022–2030, masing-masing sekurang-kurangnya 50 peratus bagi murid enam tahun dan 80 peratus bagi murid 12 tahun.

“Pencapaian ini menunjukkan keperluan kepada intervensi kesihatan awam yang lebih menyeluruh dalam strategi pencegahan karies.

“Pemfluoridaan bekalan air awam menjadi salah satu pendekatan penting kerana ia berpotensi mencapai seluruh populasi tanpa mengira umur, status sosioekonomi serta tahap akses kepada penjagaan kesihatan pergigian,” katanya.

Dalam pada itu, Razali menegaskan air merupakan aset strategik negeri yang bukan sahaja penting sebagai keperluan asas, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, industri, pertanian, pelancongan dan kesejahteraan rakyat.

Selain pemfluoridaan bekalan air, Bahagian Kesihatan Pergigian turut meneruskan pelbagai intervensi pencegahan termasuk program kumuran fluorida di sekolah, sapuan varnis fluorida, pengapan fisur serta amalan memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida.

Pendekatan bersepadu itu bertujuan memastikan usaha mencegah penyakit pergigian dilaksanakan seawal usia kanak-kanak dan diteruskan sepanjang hayat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here