Para pensyarah dan penyelidik FST UMS bersama delegasi MOSTI dan Atom Malaysia.

UMS, Atom Mlaysia Perluas Kerjasama Penyelidikan dan STEM KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas kerjasama dalam bidang keselamatan, teknologi sinaran, penyelidikan serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor dan Ketua Pengarah Atom Malaysia, Noraishah Pungut di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Bangunan Canselori UMS, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Kasim berkata, kerjasama tersebut merupakan penterjemahan kepada pendekatan Quadruple Helix yang menggabungkan kepakaran akademia, kerajaan, industri dan masyarakat dalam menangani cabaran dunia sebenar.

“MoU ni bukan sekadar dokumen simbolik, sebaliknya ia merupakan pelan tindakan beroperasi yang direka untuk menghasilkan impak nyata sepanjang tempoh lima tahun permulaannya.

“Menerusi jaringan terus antara penyelidik universiti dan pihak berkuasa kawal selia, kita dapat memastikan bahawa potensi sains dimanfaatkan sepenuhnya dengan tahap keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan tertinggi,” ujarnya.

Kerjasama tersebut merangkumi empat teras strategik, termasuk Program Jangkauan STEM dan Literasi Masyarakat serta Penyelidikan Gunaan dan Penjanaan Ilmu melalui pelaksanaan program pendidikan STEM, penyelidikan bersama, perkongsian data serta penerbitan hasil kajian berkaitan keselamatan tenaga atom dan pemantauan radiasi alam sekitar.

Dua lagi teras melibatkan Pengayaan Akademik dan Pengawasan Pascasiswazah serta Pembangunan Modal Insan dan Latihan Industri, iaitu penglibatan pakar Atom Malaysia dalam ekosistem akademik UMS serta penyediaan peluang latihan industri
dan pertukaran penempatan bagi pelajar serta staf teknikal.

“UMS bersedia sepenuhnya untuk menyumbangkan kepakaran intelek, tenaga saintifik dan prasarana penyelidikan bagi menjadikan kerjasama ini sebagai penanda aras kolaborasi strategik antara universiti dan agensi kerajaan di Malaysia.

“Usaha yang kita perkasakan ini turut menyokong agenda peringkat antarabangsa, termasuk hasil UN Transforming Education Summit dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya SDG 7: Tenaga Boleh Baharu dan Mampu Milik serta SDG 4: Pendidikan Berkualiti,” tambah Kasim.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Safida Zalma Mohd Piah berkata, pemeteraian MoU tersebut dirangka dengan fokus kepada bidang
keselamatan, teknologi sinaran, serta pemerkasaan pendidikan STEM.

“Pemeteraian MoU ini adalah langkah strategik untuk meluaskan lagi jaringan peranan Atom Malaysia sebagai badan kawal selia dan UMS sebagai penggerak teknologi dan modal insan negara.

“Kerjasama ini selari dengan fokus kementerian dalam mengarusperdanakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan ahli akademik, selain melahirkan bakat yang adaptif serta menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

“Saya berharap agar pemeteraian MoU ini menjadi pemangkin kepada inovasi berterusan, bukan sahaja kepada MOSTI, Atom Malaysia dan UMS, malah memberi manfaat kepada kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat di negeri Sabah.” jelasnya.

Dalam pada itu, MoU tersebut turut menyokong usaha meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap teknologi nuklear dan keselamatan sinaran, khususnya melalui program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) serta jangkauan
STEM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here