KUALA LUMPUR – Pendedahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu pernah menolak tawaran bantuan Amerika Syarikat (AS) ketika pentadbiran Barack Obama untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak menimbulkan persoalan sama ada tawaran sama pernah diterima parti pembangkang lain ketika itu.
Pengulas politik, Eric See-To berkata, perkara itu perlu diperjelaskan memandangkan Pas ketika itu berada dalam blok pembangkang bersama DAP dan PKR.
“Sekarang tinggal satu soalan. Masa itu Pas berada dalam blok pembangkang bersama DAP dan PKR. Jadi DAP dan PKR pernah tak terima tawaran yang sama?
“Dan kalau pernah, adakah mereka tolak juga atau sebaliknya telah bekerjasama dengan pihak Amerika sehingga akhirnya BN tumbang pada 2018?” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut beliau, persoalan itu turut dikaitkan dengan pendedahan e-mel sebuah organisasi yang dikaitkan dengan bilionair George Soros yang digodam dan kandungannya disebarkan melalui WikiLeaks pada penghujung 2016.
Beliau mendakwa, antara kandungan yang didedahkan ialah usaha Soros melobi kepimpinan tertinggi kerajaan AS pada awal 2016, beberapa bulan sebelum Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mengambil tindakan berkaitan isu 1MDB secara besar-besaran.
Katanya, dalam dokumen bertajuk The TPP and Malaysia’s Corruption Crisis, Soros didakwa menggesa Washington supaya menjauhkan diri daripada Najib dan mengambil pendirian lebih tegas terhadap kerajaan Malaysia ketika itu.
Eric See-To berkata, dokumen berkenaan turut memaparkan pelbagai dakwaan berkaitan hubungan Malaysia dengan China, kedudukan politik Najib serta isu membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, naratif berkenaan turut mengaitkan pemenjaraan Anwar dengan usaha menghalang kemunculan bentuk politik Islam yang disifatkan “demokratik dan sederhana”.
Beliau berkata, Soros turut mendakwa Najib mengambil kesempatan dengan mendekati kelompok paling konservatif dalam Pas selepas Anwar dipenjarakan.
“Menurut naratif itu, perkembangan tersebut akhirnya menyebabkan golongan progresif dalam Pas tersingkir dan kemudian menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN), manakala Pas kembali kepada pendekatan Islamisme yang lebih tegar,” katanya.
Beliau mendakwa Soros turut melihat Anwar sebagai penting kepada kepentingan strategik AS kerana berpotensi menjadi pesaing politik kepada Najib, selain membawa naratif “demokrasi Islam sederhana” yang lebih selari dengan kepentingan Washington.
“Sekali lagi, semua ini bukan saya yang reka. Ini adalah hujah dan naratif yang dibawa oleh bilionair George Soros kepada Kerajaan Amerika Syarikat ketika itu.
“Dan sampai hari ini, dokumen serta e-mel berkaitan masih boleh dirujuk melalui arkib WikiLeaks,” katanya. – MalaysiaGazette
















