PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk mencari formula terbaik berkaitan subsidi bahan api, termasuk kemungkinan menambah kuota bagi golongan yang memerlukan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, sebarang langkah itu perlu mengambil kira kemampuan kewangan negara supaya tidak menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan.
“Bila naik lagi, tanggungan kerajaan lagi tinggi. Jadi itu saya serah kepada Menteri Ekonomi dan Kementerian Kewangan. Biar mereka pening nak fikirkan bagaimana nak tampung,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara membantu rakyat yang berdepan kos sara hidup dengan memastikan subsidi tidak menjadi beban berpanjangan kepada kewangan negara.
Menurut beliau, keperluan penggunaan bahan api berbeza mengikut keadaan seseorang, terutama mereka yang perlu melakukan perjalanan jauh untuk bekerja.
“Kalau orang itu duduk di Seremban, kerja di Kuala Lumpur atau Putrajaya, mungkin tidak cukup. Orang yang memandu Grab yang memerlukan kemudahan-kemudahan ini, nampak belum cukup.
“Bila naik lagi, tanggungan kerajaan lagi tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat subsidi bahan api ditanggung kerajaan menggunakan hasil negara termasuk kutipan cukai daripada rakyat.
Katanya, kerajaan membelanjakan kira-kira RM40 bilion bagi subsidi harga minyak sekali gus menunjukkan besarnya komitmen kewangan untuk mengekalkan harga bahan api pada paras rendah.
“Jadi tiap kali ambil minyak itu, tolonglah fikir, ambil yang perlulah. Sebab negara bayar. Negara siapa? Negara bayar cukai daripada semua kaum dan semua wilayah,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia turut berdepan cabaran pasaran minyak global susulan konflik geopolitik dan gangguan terhadap laluan perdagangan minyak dunia.
Menurutnya, isu bekalan dan harga minyak bukan hanya dihadapi Malaysia, malah beberapa negara jiran turut berdepan kekangan bekalan sehingga pengguna terpaksa beratur untuk mendapatkan bahan api.
Malah, katanya, terdapat sebuah negara yang menyaksikan sehingga 40 stesen minyak ditutup dalam tempoh sehari sebelum mengambil masa beberapa bulan untuk dibuka semula.
“Sekarang ini walaupun dalam keadaan kekangan ekonomi, kita masih bertahan untuk menetapkan harga RON95 paling rendah di dunia. Ini bukan mudah,” katanya.
Beliau berkata, keputusan berkaitan subsidi tidak boleh dibuat hanya berdasarkan tekanan semasa, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan fiskal negara dalam jangka panjang.
Anwar berkata, kerajaan akan terus berusaha melindungi rakyat, khususnya golongan yang benar-benar memerlukan, tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.
“Kalau cari jalan, kalau apa saja yang mungkin, jangan bebankan rakyat. Kita tanggunglah. Itu baru cara kita memimpin negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan penelitian lanjut mengenai mekanisme dan kemampuan subsidi kepada Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kewangan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keadaan ekonomi semasa jauh berbeza berbanding ketika beliau menerajui kementerian itu sebelum ini.
“Ketika itu pertumbuhan ekonomi negara berada pada kadar tinggi dan harga minyak lebih terkawal. Berbeza dengan keadaan sekarang yang dipengaruhi konflik geopolitik serta ketidaktentuan pasaran tenaga global,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















