KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengeluarkan mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) di Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), petang semalam sedang giat dijalankan pasukan penyelamat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, operasi berkenaan dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, Hospital Miri juga telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian.
“Setakat laporan pagi ini, operasi membawa keluar mangsa sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat, iaitu PDRM dan JBPM.
“Selain itu, pihak Hospital Miri telah bersiap sedia sepenuhnya di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari lokasi kejadian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd. Wahab berkata, operasi SAR bermula sekitar jam 7.30 pagi dan perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh Incident Commander, iaitu Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Beliau berkata, lokasi nahas yang berada di kawasan pedalaman menjadi antara cabaran kepada pasukan penyelamat untuk mencapai lokasi berkenaan.
“Semua maklum sekarang ini usaha sedang giat dijalankan. Kawasan tersebut amat di pedalaman. Untuk mencapai tempat tersebut, kena pastikan dari aspek search and rescue dapat hadir ke tempat tersebut.
“Dari semasa ke semasa, pihak utamanya Incident Commander akan memaklumkan kepada pihak kami berkaitan dengan perkara ini,” katanya.
Mengulas status mangsa, Dzulkefly menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk disahkan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Dr. Mahathar berkata, sebarang maklumat berkaitan nama dan status mangsa perlu melalui proses serta prosedur yang betul sebelum diumumkan kepada umum.
Beliau berkata, Incident Commander bersama pasukan SAR bertanggungjawab menyalurkan maklumat rasmi berkaitan perkembangan operasi berkenaan.
Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.
Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ketika kejadian.
Sementara itu, Dr Dzulkefly pula dilapor berkata, helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Media melaporkan lima mangsa dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afriq; pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat kejadian itu di bawah Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. – MalaysiaGazette
















