GAZA CITY – Hamas komited untuk melaksanakan arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa jika mereka memutuskan supaya gencatan senjatan dikuatkuasakan di Gaza.
Bagaimanapun pemimpin Kanan Hamas, Osama Hamdan berkata, Hamas akan mematuhi keputusan itu selagi Israel melakukan tindakan sama.
“Sekiranya keputusan mahkamah di The Hague untuk menghentikan senjata, Hamas akan komited dengan gencatan senjata selagi musuh mematuhinya.
“Hamas akan membebaskan tahanan Israel jika mereka juga membebaskan tahanan Palestin yang dipegangnya.
“Musuh zionis mesti menamatkan pengepungan selama 18 tahun di Gaza dan membenarkan semua bantuan yang diperlukan untuk bantuan dan pembinaan semula,” katanya dalam kenyataan media.
ICJ akan mengumumkan keputusan pada pukul 1 tengah hari waktu Belanda (7 malam waktu Malaysia) selepas Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Kes itu membabitkan Pelaksanaan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid di Semenanjung Gaza.
Sidang umum dijadualkan berlangsung di Peace Palace di The Hague, Belanda, dan perintah mahkamah akan dibacakan.
Pada 29 Disember 2023, Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel dengan menuduhnya melakukan genosid ketika pencerobohan ke atas Gaza.
Perbicaraan mengenai kes itu telah berlangsung selama dua hari bermula 11 Januari lalu.- Agensi
















