KUALA LUMPUR – Sebuah rumah inap desa di Tanjung Karang yang telah disewa dan dijadikan transit untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) digempur polis semalam.
Serbuan menerusi Op Pintas Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Balai Polis Kuala Selangor dijalankan kira-kira jam 9.45 malam.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi itu berjaya menangkap 48 warga Indonesia berusia lingkungan enam hingga 51 tahun.
Daripada jumlah tangkapan itu, 14 adalah wanita dan tiga lagi kanak-kanak.
Dua lelaki yang disyaki penjaga premis dan tekong darat sindiket itu turut ditangkap.
“Kesemua PATI yang ditahan membuat bayaran antara RM1,500 hingga RM3,000 seorang untuk diseludup keluar ke Indonesia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kegiatan sindiket penyeludupan PATI ke Indonesia ini dipercayai bergiat aktif sejak Disember tahun lalu di kawasan perairan itu.
“Modus operandi mereka dengan membawa PATI terbabit ke lokasi pelepasan dan bertolak ke Indonesia melalui jalan laut secara tidak sah.
“Kesemua tangkapan PATI berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















