KUALA LUMPUR – Pelakon Dynas Mokhtar bakal kembali bergelar isteri apabila memilih 21 April ini sebagai majlis pernikahannya.
Ibu tunggal dua anak itu bagaimanapun mengakui perasaan dirinya kini teruja bercampur gemuruh
Wanita berusia 35 tahun ini berkata, setakat ini persiapan untuk majlis tersebut berjalan lancar dan dia juga dalam usaha menurunkan berat badannya.
“Majlis pernikahan akan berlangsung di rumah ibu di Shah Alam. Majlis bertandang akan diadakan pada 28 April di sebuah dewan di Damansara manakala resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 5 Mei depan.
“Alhamdulillah, persiapan lancar, cuma ada beberapa lagi perkara yang akan dibuat pada saat-saat akhir termasuk persalinan perkahwinan. Dapatlah saya kurangkan berat badan sementara menunggu hari bahagia,” katanya memetik laporan BHOnline.
Dynas yang sudah empat tahun menjalani hidup sebagai ibu tunggal akan bernikah dengan pengusaha ladang ayam, Shazrik Din, 36.
Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 26 Oktober tahun lalu.
Menerusi perkahwinan pertama, Dynas dikurniakan dua anak iaitu Khyra Khalyssa yang berusia lapan tahun dan Mohamed Haqaish, enam tahun. – MalaysiaGazette
















