Kakitangan LUAS melakukan pemantauan di lokasi susulan kejadian bau seakan minyak kelapa di Sungai Kundang, kelmarin. Gambar: Ihsan Facebook LUAS

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran minyak kelapa yang berlaku di Sungai Kundang kelmarin.

Menerusi hantaran di Facebook, LUAS memaklumkan, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 79(1) Enakmen Luas 1999 dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pihak terbabit.

Pada masa sama pemantauan keadaan semasa diteruskan di sungai terjejas dan agensi itu bersiap siaga untuk mengambil tindakan mitigasi mengikut keperluan.

“LUAS melaksanakan pemantauan intensif bermula pagi kelmarin (1 Mac) dan sepanjang malam sehingga semalam di Sungai Sembah, di mana bacaan bau dan pemerhatian keadaan aliran sungai dianalisa dan disemak setiap 30 minit.

“Kerja-kerja pembersihan di lokasi terkesan dengan aliran pencemaran minyak juga dipantau rapi, yang mana ia selesai sepenuhnya  7 malam semalam,” katanya.

Jelasnya lagi, sehingga 7.30 malam ketika operasi ditamatkan, didapati keadaan Sungai Kundang dan Sungai Sembah normal dan tiada sebarang potensi pencemaran.

Sebelum ini, media melaporkan, LUAS menemui kesan dan bau seakan minyak kelapa ketika melakukan rondaan dan pemantauan di Sungai Kundang pada pukul 11 pagi kelmarin.

Berikutan itu, Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan untuk tindakan siasatan menyeluruh serta mitigasi segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast