KUALA LUMPUR – Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT) menggesa kerajaan mempercepatkan jawatan Ketua Eksekutif LTAT disegerakan.
Presiden KKLTAT, Zulharith Shahrizan Kumar Abdullah berkata, muka baharu itu mesti seorang yang berwibawa, berintegriti serta berpengalaman luas dalam bidang pelaburan dan korporat.
“Saya ingin menyatakan hasrat dan pendirian kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan supaya calon yang akan dilantik menjadi Ketua Eksekutif yang baru amat penting bagi memastikan kewangan dan ekonomi LTAT dikendalikan dengan lebih bijak, terurus dan berintegriti,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Sebelum itu, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman telah meletak jawatan pada 31 Januari lalu.
Selain Ahmad Nazim, Pengerusi LTAT, Tan Sri Raja Mohamed Affandi dan Pengarah Kanan Strategik LTAT, Dayana Rogayah Omar juga telah meletakkan jawatan pada 8 dan 19 Februari lalu.
Dalam pada itu, Zulharith menegaskan, KKLTAT tidak sanggup menerima cara pengurusan yang tidak cekap dan tadbir urus yang lemah kerana ia akan menggadai masa depan para pencarum Angkatan Tentera Malaysia khasnya dan kakitangan LTAT amnya.
Menurutnya, KKLTAT berharap syarikat Kumpulan LTAT seperti Boustead Holdings Berhad dan Perbadanan Milik Penuh LTAT iaitu Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) dan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) dikekalkan peranan masing-masing malah dipertingkatkan lagi sokongan kepada mereka agar dapat memberi pulangan yang terbaik dan dalam masa yang sama semua aset-aset LTAT tidak dikompromikan.
“Tambahan lagi, kami di KKLTAT juga berharap agar pihak kerajaan dapat memberi kerjasama, sokongan, ruang dan peluang kepada LTAT untuk membuat pelaburan yang berdaya saing.
“LTAT harus kekal selama-lamanya demi memberi manfaat dan faedah-faedah kepada pencarum-pencarum tentera. Kakitangan LTAT juga harus diselamatkan demi masa depan yang terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette
















