KUALA TERENGGANU – Pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid dipercayai diserang lebih daripada dua individu dalam kejadian yang berlaku pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa dalam keterangannya mendakwa melihat tiga individu keluar dari sebuah kereta Honda City berwarna gelap.
“Dua suspek keluar dari belakang kereta, seorang lagi dari depan,” katanya.
Mangsa dalam kenyataannya memberitahu polis, suspek menaiki kereta jenis Honda City berwarna gelap.
Azli berkata, setakat ini polis masih belum dapat mengesan suspek walaupun pemeriksaan daripada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan atau jalan yang dilalui suspek, polis tidak menerima sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan.
“Siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi tentang penglibatan mangsa di dalam lain-lain kes,” katanya.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Akhyar, 25, dipukul dengan sebatang besi boleh laras oleh dua lelaki dalam kejadian bermotifkan samun di Kuala Terengganu, Terengganu.
Dia cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri ketika dia baru tiba di kawasan kediamannya selepas selesai sesi latihan bola sepak di stadium di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
Kejadian itu menyebabkan Akhyar mengalami pendarahan di ubun-ubun selepas terdapat kecederaan kira-kira empat sentimeter sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.
Pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) tersebut terpaksa menerima empat jahitan di bahagian ubun kepala serta dua jahitan di bahagian kaki kiri selain mengalami bengkak di lengan kiri. – MalaysiaGazette
















