Ramli menunjukkan senarai ahli-ahli kumpulan sindiket pelaburan Pimco pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis mengesan sebuah syarikat yang ditubuhkan bagi menipu orang ramai menerusi pelaburan secara dalam talian hingga membabitkan kerugian lebih RM21 juta.

Pendedahan dibuat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang memberitahu, itu adalah taktik yang digunakan sindiket skim penipuan pelaburan yang dikenali Pimco.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 48 laporan di seluruh negara berhubung kegiatan itu.

“Berdasarkan siasatan dilakukan, sindiket ini dipercayai aktif mengiklankan pelaburan melalui Facebook sejak Mac lalu dengan menawarkan perkhidmatan urus niaga saham syarikat Malaysia, Taiwan dan China.

“Pelabur yang berminat akan dihubungi dan dimasukkan ke kumpulan WhatsApp pelaburan terbabit sebelum diminta memuat turun aplikasi T Rowe untuk mendaftar sebagai ahli,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, sebaik pendaftaran dibuat, pelabur akan dihubungi oleh sindiket dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke beberapa akaun syarikat bagi memulakan pelaburan.

Ujarnya, pelabur turut dijanjikan pulangan lumayan sehingga 400 peratus daripada jumlah pelaburan yang dilakukan.

“Selepas pelaburan dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa pelaburan itu menjana keuntungan tetapi, kemudian diarahkan membuat pelbagai bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan sebelum mereka menyedari ditipu,” jelasnya.

Bertindak atas laporan diterima, beberapa serbuan dilancarkan di ibu kota, Selangor, Melaka, Pahang, Johor dan Sarawak pada 15 Julai lalu.

“Dalam serbuan itu, kami menahan tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 31 hingga 54 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan berkenaan.

“Kesemua yang ditahan adalah disyaki sebagai pemilik syarikat dan setiausaha syarikat yang digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket terbabit…kami turut merampas dua telefon bimbit dalam serbuan itu,” tegasnya.

Katanya lagi, tindakan turut diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Berdasarkan tindakan itu, kami berjaya membekukan sebanyak 15 akaun bank dengan nilai RM474,395, setakat ini.

“Justeru, kami menyeru sekiranya ada individu lain menjadi mangsa penipuan sindiket ini supaya tampil membuat laporan polis.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung sindiket terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast