KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa menyelesaikan kemelut pembangunan semula Pasar Dato Keramat yang dilihat daif di kawasan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, DBKL sebelum ini telah memberikannya kepada syarikat pemaju untuk menaiktaraf pasar berkenaan, namun ia gagal dilaksanakan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
“Jadi, saya fikir kena ambil perhatian terhadap Pasar Dato Keramat berkenaan kerana keadaannya sangat daif.
“Saya sudah maklum kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Sallleh untuk ambil perhatian terhadap perkara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menaunaikan solat Jumaat di Masjid Ibnu Mas’ud, di sini, hari ini.
Sementara itu, Johari ketika ditemui berkata, syarikat pemaju terbabit tidak melaksanakan projek naiktaraf pasar berkenaan.
Katanya, apabila syarikat pemaju tidak melaksanakan projek tersebut, DBKL tidak boleh meneruskan projek berkenaan disebabkan syarikat pemaju itu sudah membayar kira-kira 10 peratus nilai tanah di kawasan pasar itu.
“DBKL sebelum ini telah menjual tanah di kawasan itu kepada syarikat pemaju yang mahu membangunkan pasar berkenaan.
“Selepas saya jadi wakil rakyat semula di kawasan berkenaan saya desak DBKL untuk tebus semula kawasan berkenaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, setakat ini DBKL sudah menyelesaikan isu berkenaan.
Katanya, syarikat pemaju itu sudah mengembalikan semula tanah berkenaan kepada DBKL dan syarikat itu sudah mengambil semula wang pendahuluan.
“Kini terpulang kepada DBKL untuk menguruskan dan menaiktaraf pasar berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















