BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melupuskan 49,488 pelbagai barangan rampasan bernilai RM2.34 juta.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, semua barangan itu hasil rampasan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini selain telah selesai menjalani proses mahkamah termasuk mendapat kebenaran untuk dilupuskan.
Semua barangan itu hasil rampasan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

“Ekshibit yang dilupuskan terdiri daripada pelbagai jenama seluar, baju, kasut, topi, produk makanan, produk penjagaan kesihatan serta aksesori dan peranti elektronik tiruan,” katanya pada sidang media di Program Pelupusan Ekshibit Mega KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak hari ini.
Mengulas lanjut, Jegan berkata, pelaksanaan pelupusan bagi enam bulan pertama tahun ini adalah tertinggi berbanding jumlah keseluruhan tahun-tahun sebelum ini.
“Berdasarkan rekod rekod sepanjang tahun lalu, KPDN Pulau Pinang telah melupuskan barang rampasan bernilai RM898,155 membabitkan 146 kes manakala pada 2022, sebanyak 29 kes dengan nilai RM541,142.
“Sehubungan itu, kita beri amaran kepada mana-mana individu atau sindiket agar menghentikan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan selain tidak terlibat dalam penjualan tiruan.

“Kita juga akan meneruskan tindakan penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan bagi memastikan kepentingan pengguna terus dipelihara dalam negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jegan berkata, sepanjang tahun ini, Bahagian Penguat Kuasa KPDN Pulau Pinang mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan berkaitan bekalan, harga, antipencatutan, ketirisan, barang tiruan, halal, sewa beli, skim anti piramid, jualan langsung, penipuan dalam talian dan sebagainya.
“Bermula 1 Januari hingga 30 Jun lepas, kita telah melaksanakan pemeriksaan ke atas 22,143 premis dan 233 tindakan diambil melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.58 juta.
“Sebanyak RM94,600 nilai kompaun telah dikeluarkan melibatkan 124 kes manakala tiga kes pula melibatkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda berjumlah RM52,000,” katanya. – MalaysiaGazette
















