KUALA LUMPUR – Seorang lelaki akan direman esok di Mahkamah Majistret Kuala Selangor kerana memecah masuk rumah hingga mengakibatkan kerugian lebih RM60,000.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superitendan Mohd Ambia Nordin berkata, permohonan reman ke atas suspek berusia 36 tahun itu akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek warga tempatan itu telah ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di kawasan daerah itu dengan merampas semula barang kes daripada suspek.
“Semalam sekitar jam 9.13 pagi, polis telah menerima lpaoran daripada seorang wanita berkenaan rumahnya dipecah masuk di Taman Bendahara, Kuala Selangor.
“Dalam kejadian itu, mangsa telah mengalami kerugian dianggarkan lebih RM60,000 dalam bentuk wang tunai dan barang kemas.
“Hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing ke atas suspek adalah negatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, hasil semakan rekod mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan pecah rumah dan curi dalam bangunan.
Susulan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak menyimpan barang kemas dan wang tunai dengan jumlah yang banyak sekiranya meninggalkan rumah dalam tempoh masa yang lama.
Pada masa sama, Mohd Ambia memaklumkan perlu memastikan rumah atau premis berada dalam keadaan berkunci dengan baik. – MalaysiaGazette
















