KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok perlu disiasat dan didakwa segera di bawah peruntukan 3R (agama, kaum dan raja) berhubung kontroversi isu pensijilan halal.
Ketua Lajnah Hal Ehwal Konsumer Dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, kenyataan Teresa berhubung isu itu jelas berniat menggugat sensitiviti umat Islam di negara ini.
Tegas Ahli Parlimen Jerantut berkenaan, kenyataan Teresa juga sangat biadab dan merupakan penghinaan terhadap agama Islam dan selain provokasi yang sengaja dibuat bagi mencetuskan sensitiviti agama Islam di negara ini.
“Teresa bukanlah pemimpin yang baru sehari dua menjadi Ahli Parlimen dan kenyataan seperti ini jelas berniat menggugat sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Sekali lagi Pas memberi amaran supaya DAP tidak mencetuskan sebarang bentuk provokasi berkaitan agama kerana ia adalah sangat sensitif serta boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Teresa sebelum ini mencetuskan kontroversi berikutan kenyataannya di media sosial yang mana pelaksanaan pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Menurutnya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Ekoran itu, beberapa pihak membuat laporan polis terhadap Teresa kerana dianggap menyentuh sensitiviti umat Islam dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) isu 3R terhadap pemimpin DAP berkenaan.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan terbaharunya, Teresa mendakwa, kenyataannya sebelum ini disalah erti dan beliau sebenarnya menyokong usaha kerajaan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman. – MalaysiaGazette
















