KUALA LUMPUR – Perdagangan borong & runcit Malaysia mencapai nilai jualan sebanyak RM149.0 bilion, meningkat 6.7 peratus pada Julai 2024 dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 6.4 peratus kepada RM63.5 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perdagangan borong juga tumbuh 5.5 peratus kepada  RM66.6 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan peningkatan 12.2 peratus untuk mencapai RM19.0 bilion.

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong & runcit kembali positif 2.1 peratus, disokong oleh kenderaan bermotor yang meningkat 11.6 peratus.

“Pertumbuhan 6.4 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan tumbuh 7.7 peratus kepada  RM24.4 bilion.

“Kumpulan lain dalam subsektor ini yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ini adalah jualan runcit bahan api kenderaan (7.1%), jualan runcit di kedai pengkhususan (6.6%) dan jualan runcit makanan, minuman & tembakau (6.5%).

“Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini merekodkan penurunan -1.0 peratus, disebabkan kejatuhan
terutamanya pada Jualan runcit di kedai pengkhususan (-3.8%), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (-1.7%) dan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (-1.3%),” katanya,

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, kenaikan 5.5 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh jualan borong jentera, peralatan & bekalan yang meningkat 10.2 peratus kepada RM5.4 billion, diikuti oleh perdagangan borong tanpa pengkhususan (9.4%), jualan borong barangan isi rumah (8.2%), jualan borong makanan, minuman & tembakau (8.1%) dan jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (7.7%).

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong naik 2.6 peratus, terutamanya disokong oleh jualan borong jentera, peralatan & bekalan (5.3%), jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (5.0%) dan lain-lain pengkhususan jualan borong (2.9%).

Pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12.2 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Julai didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.0 peratus.

Selain itu, jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal meningkat 12.9 peratus, diikuti oleh penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor dan jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor dengan peningkatan masing-masing sebanyak 10.5 peratus dan 9.6 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini kembali positif 11.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini bertumbuh 5.7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2024 berbanding 4.8 peratus pada Jun 2024.

Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menokok 1.5 peratus berbanding bulan sebelum.

Dari segi indeks volum, perdagangan borong & runcit pada Julai 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.5 peratus.

Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (10.8%), perdagangan borong (5.2%) dan perdagangan runcit (4.6%).

Bagi indeks volum pelarasan musim, ia naik 2.1 peratus bulan ke bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast