KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori tangki disahkan maut selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik dalam kejadian di Kilometer 27.9 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak menghala ke ibu negara, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu melibatkan mangsa berusia 43 tahun sekitar jam 5.45 petang.
“Siasatan mendapati mangsa lelaki warga tempatan yang membawa muatan minyak kelapa sawit sedang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Klang, Selangor.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, lori terbabit hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik melintang jalan akibat permukaan jalan yang licin dan basah.
“Akiabt insiden itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke bahagian forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Rohaizad Hashim di 012-2924420 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-61262222,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















